Wednesday, March 9, 2011

Air Terjun Yang Indah




Pernah pergi tempat air terjun? Katakanlah, satu hari ni, kita teringin nak pergi tengok air terjun. Kawan-kawan kita kata ada satu air terjun ni sangat best! Harus pergi sana! Jadi kita pun excited nak pergi.

Rancang punya rancang, dengan membuat pelbagai persiapan yang sangat teliti, daripada masa perjalanan ke sana, aktiviti yang nak dilakukan di sana, berapa ramai yang nak pergi, dan macam-macam lagi. Orang kata, memang bersungguh habislah!


Akhirnya, tibalah hari untuk pergi ke air terjun tersebut.
Biasalah, nak pergi tempat yang belum tercemar dengan pembangunan ni, perjalanan dia mesti agak  'bumpy' dengan jalan yang tak licin, ditambah lagi dengan sakit kepala naik 'angkut' 
(baca:van kecil yang tempat duduknya menghadap ke sisi jalan) adui, rasa menyesal pulak tiba-tiba.

Tapi, sebab kita yakin dah dengan kata-kata kawan-kawan kita tadi, bahawa air terjun tu tersangatlah best. Lebih kurang gitu la kan... punya, kita kuatkan semangat. Walaupun terpaksa mengharung badai dan ombak, demimu air terjun aku sanggup meredahnya!

Lepas tu, tengah kita sakit perut, pening nak muntah, dengan jalan yang tak best tu, tiba-tiba telinga kita dapat menangkap sesuatu.

Bunyi air terjun!!

Daripada jauh kita dapat dengar. Lepas tu semangat kita pun naik...
Tak lama lepas tu kita dah boleh nampak sungai kecil dengan air yang sangat jernih. Dalam hati dah terfikir, 'air terjun tu nanti mesti lagi cantik airnya'

Setelah hampir dua jam mengharungi ombak dan badai, maka sampailah kita kepada kawasan air terjun yang dijanjikan tadi. Subhanallah, memang sangat cantik dan mendamaikan.
Maka hati kita pun dah berbunga-bunga dan gembira bahagia, tak menipu kawan-kawan kita rupanya.

------

Cerita di atas merupakan kisah yang benar, namun boleh dijadikan sebagai sebuah analogi. Suatu persoalan, kenapa kita boleh percaya yang ada air terjun kat depan?

Pertama, sebab kita dah buat banyak persiapan untuk ke sana. Jadi sudah tentu kita tahu ke mana arah tuju kita.

Kedua, kerana ada banyak 'tanda' yang kita lihat dan dengar. 

- Daripada bunyi air terjun yang boleh didengari daripada jauh,
- anak sungai yang kita lihat jernih airnya,
- kata-kata sahabat kita, kerana kita yakin yang dia tidak akan menipu kita.

Jadi, walaupun banyak cabaran dan badai di hadapan, disebabkan YAKIN itu, kita mengharunginya dengan tabah dan gagah.

* Cuba gantikan air terjun itu dengan akhirat dan segala janji-janji Allah.

Ia sesuatu yang pasti, dan tanda-tandanya sudah banyak ditunjukkan oleh Allah bagi insan yang mahu berfikir.

Kata-kata 'kawan' kita itu pula dengan kata-kata Muhammad bin Abdullah, Sang Al-Amin, yang tidak pernah menipu, segala kata-katanya, sama ada menerusi kalam Allah Al-Quran atau Hadith.

Pernahkah Rasulullah saw menipu? Jawapannya, kita semua tahu.

Tanda-tanda yang disebutkan sebagai semua tanda-tanda kebesaran dan keesaan Allah, samada dalam Al-Quran dan Hadith, atau melalui segala ciptaanNya di bumi. Segala keindahan alam, semuanya tanda kebesaranNya. 

Segala kesusahan dalam perjalanan tadi pula, segala ujian (sama ada baik atau buruk) yang menimpa kita semasa di dunia.


Air terjun tu pula, dianalogikan sebagai syurga yang dijanjikan oleh Allah sangat indah dan tak mampu dibayangkan dek akal manusia yang pendek dan terbatas.

Jika dengan air terjun sahaja kita sudah kagum, apatah lagi syurga kan kawan-kawan? 

Perjalanan kita ke sana pula, sebagai perjalanan kita untuk ke akhirat kelak. Pendek kata, kehidupan kita di bumi lah. Bukankah kita semua adalah pengembara? Pengembara menuju kehidupan yang kekal abadi? Kehidupan kat dunia ni, tersangatlah pendek jika dibandingkan dengan akhirat kelak.


Tak berbaloi rasanya hidup berseronok di dunia, di akhirat merana. Oh tidak! Nauzubillah...

Akhir sekali, bukankah kita sanggup menghadapi segala kesusahan untuk ke air terjun tadi kerana kita YAKIN? Maka tukarkanlah perkataan yakin itu kepada IMAN kita dan terjemahkanlah ia dalam kehidupan kita.

Sebelum melakukan apa-apa, fikirkan dulu, apa natijahnya buat diriku di SANA nanti? Baikkah? Atau burukkah?

Keyakinan kita pada Allah, pada segala apa yang dijanjikannya, menjadi neraca yang cukup berharga. Ia tidak dapat diwarisi daripada bapa atau ibu yang soleh, ia perlu dicari dan ditanam oleh diri sendiri. Diperkukuhkan dengan ilmu dan amal hanya kerana Allah swt satu-satunya Zat yang layak untuk diibadahi. Dengan bimbingan dan pedoman daripada Rasulullah saw, contoh terbaik bagi seluruh umat manusia.

" Begin with the end in mind ", kata Stephen Covey.
Bagaimana kita mahu pengakhiran kita kelak, itulah yang akan mencorakkan seluruh kehidupan kita, insya Allah.

Kehidupan ini bukanlah mudah, banyak cabaran dan dugaan, terutama sekali di akhir zaman ini, dengan fitnah Dajjal sedang berleluasa, semoga kita terlindung daripadanya, Amin.

Namun, keindahan dan kecantikan syurga yang menjadi motivasi kepada kita, untuk terus kukuh dalam mentaatiNya, untuk terus kuat dalam menjauhi segala laranganNya, dengan izin Allah swt.

Iman, itu neracanya.
Syurga, itu motivasinya.
Ayuh, mari menjadi insan yang bijak!

" Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. (Iaitu) Orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan "

Surah Ali-Imran (3:133-134)



Kita hanya manusia, dan manusia sering terlupa. Marilah mengingatkan sesama kita, moga berjumpa di syurga. 


Air Mata Tidak Selamanya Abadi

Senyum. Bahagia. Tenang. Ke mana perginya hari-hari gelap itu? Hilangnya tidak disedari. Lesapnya tidak mengesankan lagi. Alhamdulillah. Akhirnya, detik-detik hitam itu sudah berlalu. Pasti. Semua orang pastinya pernah diuji dengan pelbagai jenis dugaan. Semua tak terkecuali. Namun, tanda perhatian dan kasih sayang ALLAH pada hamba-hambaNYA ini seringkali disalah tafsirkan sebagai kemusnahan, disalah ertikan sebagai perhentian terakhir hidup bagi mereka yang lemah akal dan jiwanya. Tidak, aku tidak akan sekali-kali menyalahkan mereka. Kelemahan adalah sebahagian ‘anggota’ manusia, ketidaksempurnaan pula ada ‘nama timangan’ mereka.

Dulu, ada satu kisah tentang rama-rama. Sering ku kisahkan cerita ini pada mereka yang lagi dirundum kesedihan. Dengan kisah ini jualah, terselit sekelumit harapan untuk menyisip secebis kekuatan buat mereka yang lemah. Memang, aku tidak mampu menyanyikan lagu‘Semangat yang Hilang’ untuk mengobarkan kembali semangat mereka, aku juga tidak dapat memberi preskripsi ubat untuk menghilangkan ingatan-ingatan buruk itu, malah aku tidak akan mungkin punya kuasa ajaib untuk mengubah takdir jika bukan diri mereka sendiri yang ingin bangkit mengubah segalanya.

Rama-rama bagiku cukup simbolik. Lambang perjuangan hidup. Ia terbang mengibarkan kepak warna-warninya yang indah dan memukau setiap mata yang memandang. Namun, dulunya rama-rama ini tak lebih dari seekor beluncas. Ya, seekor beluncas yang dibenci, dianggap perosak dan sering dijauhi. Namun, kemudian berubah menjadi kepompong sebelum bertransformasi menjadi seekor rama-rama yang cantik.

Kisah rama-rama ini kisah benar, bukan rekayasa atau hikayat dongeng penuh fantasi tetapi lebih kepada teori logik, sebuah cerita saintifik. Pernah, terdapat sekumpulan saintis sedang membuat kajian terhadap rama-rama. Mereka memerhatikan dengan teliti proses bagaimana seekor rama-rama keluar dari kepompongnya. Ia kelihatan seperti kepayahan, terseksa untuk mengeluarkan diri. Berjam-jam lamanya, rama-rama ini mencuba, mencuba, dan terus mencuba untuk keluar dari kepompong yang kecil itu. Akhirnya, ia berhasil. Rama-rama ini pun terbang ke sana dan ke mari seolah-olah meraikan kebebasannya.

Saintis-saintis muda ini kemudian beralih kepada rama-rama yang lain. Mereka sepakat untuk membantu mengeluarkan rama-rama ini dari kepompongnya dengan menggunting kepompong tersebut. Rama-rama ini berhasil ‘di’keluarkan dengan mudahnya. Namun, tahukah kamu apa yang terjadi dengan rama-rama ini? Tidak, ia tidak mati. Ia masih hidup, ia meneruskan hidupnya dalam keadaan cacat seumur hidup. Ia tidak berupaya untuk terbang, tidak akan pernah mampu terbang seperti layaknya. Bukankah ini lebih malang? Ternyata, segala kesukaran serta kepayahan ketika berusaha keluar dari kepompong itulah yang memberi kekuatan bagi seekor rama-rama untuk terbang. 

Hakikatnya, apa yang tidak membunuh kita itulah yang melangsungkan kehidupan ini. Kita tidak akan kenal bahagia sebelum melalui sengsara, tidak kenal cinta sebelum faham erti benci, tidak menghargai senyuman tanpa air mata pedih. Kitaran hidup ini perlu didalami, jatuh bangunnya, turun naiknya, takdir dan karma. Tentu, kata –kata ini sering kita dengar di mana-mana, “setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya”. Ini bukan kata-kata kosong yang palsu. Bukan. Tetapi, jangan pula tanyakan padaku, bila dan bagaimana?

Wallahualam

Tetapi bersabarlah. Airmata tidak abadi, kering suatu masa nanti. Percayalah, keajaiban itu pasti ada. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui tiap sesuatunya.

Monday, March 7, 2011

Break! Apa nak buat?

Ramai orang tahu apa makna break ataupun clash dalam perhubungan. Saya tahu ada dikalangan anda yang pernah clash dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan pada ketika itu. Semuanya dirasakan seakan hidup ini tidak bermakna. Berjurai-jurai air mata dikeluarkan dan pelbagai memori indah saat-saat anda bersama dengan pasangan anda hadir satu per satu dalam minda pada waktu itu. Tetapi semuanya tidak berguna lagi kerana dia bukan lagi pasangan anda.

1. Banyakkan berdoa dan bersabar - Memang ayat ini merupakan ayat yang biasa anda dengar. Kalau anda menceritakan masalah anda kepada rakan anda mengenai hal ini, mereka pun akan berkata sedemikian. Anda perlulah bersabar. Mungkin si dia bukan jodoh anda. Mungkin ada seseorang yang lebih baik dan lebih sesuai untuk menjadi teman hidup anda. Anda hanya perlu bersabar dan nantikannya.
2. Makan coklat - Mengikut kajian dan beberapa artikel yang pernah saya baca, coklat dapat menenangkan seseorang. Jadi untuk menenangkan diri anda, anda makanlah coklat. Kalau tidak pun, anda makanlah aiskrim. Aiskrim juga dapat menenangkan diri anda yang sedang bercelaru itu. Tetapi bagi mereka yang takut akan gemuk kerana makan coklat atau aiskrim ini, anda boleh ikut tips yang seterusnya. Tapi kenapa anda takut gemuk ye? :p
3. Luahkan kepada kawan rapat - Saya percaya setiap orang mempunyai rakan karib. Rakan karib yang saya maksudkan di sini bukanlah bekas kekasih anda itu tetapi rakan baik anda yang dapat anda kongsikan masalah anda ini. Ceritakan masalah tersebut pada dia dan luahkan segalanya. Ini dapat mengurangkan rasa tertekan dan selain daripada itu, ia dapat memberikan peluang untuk rakan baik anda itu untuk memberikan pendapat dan kata-kata nasihat beliau.
4. Berhibur - Buatlah sesuatu yang dapat menghiburkan hati anda. Menyanyi ke, bermain game ke, tengok wayang dengan rakan-rakan ke, ape ke. Apabila anda berhibur, anda akan berasa gembira dan terlupa sebentar akan masalah anda itu.
5. Tidur - Kalau susah sangat, lebih baik anda tidur. Dalam nangis teresak-esak itu, anda akan berasa penat dan akhir sekali anda akan tertidur. Apabila anda terjaga dari tidur, diri anda akan berasa segar dan pemikiran anda lebih terbuka untuk menerima apa yang telah berlaku. Analoginya adalah sama pada budak kecil yang menangis yang menginginkan sesuatu. Budak kecil itu akan menangis dan menangis dan apabila sudah puas menangis, budak kecil itu akan terlena dengan nyenyaknya. Apabila terjaga dari tidur, dia akan terlupa dan tidak kisah dengan benda yang dia inginkan pada sebelumnya.